Tuesday, January 10, 2012

Surat Dari Kremlin IX

Bogdan telah pun melangkah jauh meninggalkan Grigorii sendirian. Di hadapannya kini tersergam megah bangunan-bangunan hasil ketamakan kapitalis tumbuh melata seperti cendawan selepas hujan. Masing-masing dalam keadaan ereksi menembus langit bagaikan sedang menahan gelodak syahwat menghadap tubuh telanjang bidadari syurga.

"Ah, kapitalis sial.." Bogdan menghembus keluhan yang berasimilasi dengan bau busuk mulutnya yang sudah lama tidak menjamah 'colgate' perisa pudina.

Hari semakin berevolusi dari siang kepada maghrib kepada malam, hasil dari putaran planet tempat diam Bogdan dan berzillion makhluk lain. Bogdan perlu mencari tempat istirehat. Sudah satu hari suntuk Bogdan berjalan tanpa cita, misi, visi, tujuan, dan destinasi.

Akhirnya sampailah Bogdan di bawah satu jambatan besar tempat penagih-penagih kasih syurga dunia selalu bersantai. Tapi pada hari itu, tiada siapa di situ.

"Lepak sini pun cantik jugek ni," kata Bogdan kepada alter egonya yang sedari tadi setia menuruti setiap tapaknya. Entah kenapa alter egonya begitu setia hari itu bukanlah dalam jangkauan ilmu pengetahuan Bogdan.

Bogdan bersandar di salah satu tiang konkrit jambatan itu. Matanya memandang langit yang penuh bintang berserakan. Ada yang berkelip, ada yang tidak.

"Ah.. Kosmos.." bisik Bogdan kepada alter egonya, namun sahabat imaginasinya itu tidak lagi kelihatan.

Bogdan terus-terusan merenung kosmos tanpa jemu. Sampai satu ketika, matanya langsung tidak berkelip menikmati keinfinitian alam kosmos penuh rahsia itu. Tiba-tiba menjalar satu perasaan euforia deras mengalir ke seluruh tubuh Bogdan merentasi salur-salur darah serta neuron sarafnya. Semakin lama semakin laju sehingga mencapai kelajuan bunyi.

Bogdan menangis.


KALAU BERANI SAMBUNG

2 comments:

tulis elok elok. elok dari gua tak lempang terus gua lempang. kang naya.